Pages

Sunday, July 15, 2012

Apa itu 'Meletakkan Ilmu pada Amal'


Kisah Rumahlah Tangga (As-Sayyid dan Zahra Saddat)


Ini ialah sebuah karya perfileman dari Iran. Ya, Iran, Syiah yang diwar-warkan sesat. Ceritanya penuh menyesatkan.

Disebabkan aku ialah seorang yang suka akan kesesatan, maka aku terokai filem ini dengan hati yang senang.

Ceritanya mudah. Mengisahkan satu pasangan suami isteri. Pasangan yang kedua-duanya daripada jalur Junjungan SAAW. 

Memang benar, iman tidak diwarisi melalui keturunan, namun ilmu yang dipelajarilah yang akan meningkatkan keimanan dan menghidupkannya. Kurangnya tafakur dan tadabbur, maka lunturlah iman, rosaklah badan.

Sayyid, seorang pelajar jurusan sains agama yang berkahwin dengan Zahra Sadat seorang suri rumah sepenuh masa.

Pada permulaan cerita, aku amatlah tidak menggemari watak Sayyid, kerana beliau hanya mampu menjadi pelajar, namun bukan seorang suami yang baik. Di awal permulaan cerita tampak jelas beliau tidak begitu menghargai dan memahami pengorbanan Zahra Sadat yang menguruskan semua hal ehwal rumah tangga.

Sayyed

Kerja Sayyid mudah, hanya mengarah dan meminta, ibarat singa jantan yang hanya menunggu hasil pemburuan singa betinanya.

Zahra Sadat (Tengah)
Berbeza dengan Zahra Sadat, berat beban kerjanya menimbun tinggi. Hampir setiap jam tubuhnya merana bergerak, menyiapkan diri, anak-anak dan Sayyid selaku suaminya sendiri. Boleh dikatakan Zahra Saddat ialah tunjang kepada pengurusan hidup buat keluarga mereka.

Namun jauh di lubuk hati berbisik, "Sungguh beruntung Sayyid, Zahra tidak meminta lebih hanya keredhaan dan melaksanakan tanggungjawabnya dengan ikhlas."
Zahra Sadat, meskipun tidak terkenal di kalangan masyarakat awam, tidak punya pekerjaan bertaraf bangsawan mahupun profesional bahkan tidak punya tahap pelajaran yang tinggi. Namun beliau meneruskan kehidupan lebih mulia daripada mereka yang punya bergulung ijazah dan karier dengan gaji yang lumayan.

Zahra merupakan salah satu realiti 'superwomen' yang mampu melakukan pelbagai kerja tanpa menzahirkan rasa penat lelah maupun mengadu kepenatan pada siapa-siapa. Kerjanya lengkap ditambahkan dengan tenunan karpet yang dijadikan hobi untuk menambah pendapatan untuk penyaraan keluarga mereka.

Pertengahan Cerita
Namun Sayyed menghadapi kesulitan yang besar apabila Zahra Sadat mengidap penyakit  (MS) Multiple Sclerosis. Aku pun tak tahu mulanya apakah itu MS. Setelah ketemuan maksudnya, secara ringkas penyakit ini masih tidak ketemuan ubatnya. Ia berisiko tinggi  menjadi lumpuh dan menyebabkan kegagalan organ-organ dalaman badan untuk berfungsi yang mana bakal menyebabkan kematian pada usia yang awal.
Di sinilah perkembangan cerita menjadi lebih menarik. 
Sayyed mula menjadikan dirinya menjadi lebih tinggi tingkatan darjatnya dengan perubahan-perubahan kehidupan yang dilaluinya. Beliau terpaksa meninggalkan kuliah untuk menguruskan hal ehwal rumah tatkala Zahra Sadat sakit menetap di hospital. Beliaulah yang menggantikan tempat Zahra untuk menguruskan kehidupannya.

Orang endon kata,"Hah! Rasain lho!". Pada permulaannya, beban yang dirasai Zahra Sadat hampir berlipat ribu gandanya dirasai oleh Sayyed. Hampir setiap kerja yang dilakukannya silap ibarat "tikus membaiki labu" yang membuatkannya tertimpakan tangga setelah jatuh.

Dek kesabaran yang terdapat pada Sayyed, maka benarlah kata pujangga, setiap permulaan itu sememangnya sukar. Namun pabila sudah alah bisanya, maka tegalnya biasa. Sayyed menjadi suami luar biasa. Beliau bukan sahaja  berhasil menguruskan rumah, malah kerja penenunannya juga cemerlang mengatasi tenunan isterinya, Zahra Sadat.
Dek kerana kesibukan menguruskan hal rumah dan mnguruskan hal perubatan Zahra Sadat, Sayyed yang merupakan pelajar aliran sains agama hanya mampu duduk di luar pintu kelas bagi mendengar kuliah-kuliah gurunya akibat kelewatan datang ke Hauzah.

Dipendekkan cerita, dalam babak terakhir ini paling luar biasa tamatnya. Filem ini berakhir dengan satu babak di mana Sayyed yang hanya mampu mendengar kuliah dari luar bilik kuliah menyusun kasut teman-teman kuliahnya yang berselerakan di hadapan pintu.Aku tidak tahu apa motifnya.
Perbuatan itu mungkin dilihat kecil dan tidak penting di sisi masyarakat, tetapi ia amat agung di sisi Tuhan. Tidak mengharapkan apa-apa pujian daripada orang kebanyakan.

Ceritanya tidak habis. Tidak bersambung pula apa akhir cerita yang berlaku pada Zahra Sadat. Apakah penyakitnya pulih atau beliau menemukan ajal pada umur yang muda, meninggalkan Sayyed keseorangan mendidik dan menguruskan anak-anak.

Begitulah penceritaan karya sebuah kelompok Islam yang sesat dalam dunia ini. Mengajar aku apa itu amal pada perbuatan. Bukan pada lisan.

Pengajaran:
Syiah itu sesat lagi menyesatkan,
Abaikan sahaja kesihatan supaya melarat di masa hadapan,
Anak-anak ditinggalkan setelah kita menemui Tuhan,
Bukannya apa, supaya anak-anak dididik oleh suami keseorangan.

Ilmu perubatan itu byk kontribusi daripada Syiah Si Ibnu Sina,
Ilmunya sesat dan menyesatkan,
Segala bidang kelimuan harus dilupa,
Takut nanti ditolak segala amalan.

note: Baca dengan intonasi Sarcasme



No comments:

Post a Comment